Pengikut

Ahad, 11 Julai 2010

KENANGAN SERIBU RINDU


Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya maka dapatlah kami sama-sama menamatkan Latihan Amali/Industri selama 2 bulan iaitu dari 2 Mei hingga 24 Jun 2010. Kami telah menjalankan Latihan Amali/Industri ini di Pejabat Agama Daerah Besut, Terengganu. Seterusnya kami dikehendaki menyediakan laporan sebagaimana yang telah disyaratkan oleh Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi melayakkan kami mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian (Usuluddin dan Falsafah).

Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih ditujukan khas buat Pejabat Agama Daerah Besut (PADB) kerana sudi menerima kami serta mendidik kami sepanjang Latihan Amali/Industri diadakan. Ribuan terima kasih juga kepada Pegawai Agama Daerah Besut iaitu Ustaz Nik Zulhaiza Bin Ismail kerana mengizinkan kami membuat Latihan Amali Industri di sana selama 2 bulan. Tidak lupa juga penghargaan kami tujukan kepada Ustaz Nik Ismariayatim Bin Ismail dan Ustaz Rosdi Bin Mahmud selaku penyelia agensi kerana telah banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada kami sepanjang tempoh Latihan Amali/Industri berjalan. Kami diletakkan di bawah unit Dakwah dan Pengurusan Masjid serta mendapat kerjasama yang baik dari semua unit di agensi berkenaan. Selain itu, kami bersyukur dapat mencurahkan komitmen kerja serta dapat menaikkan nama Pejabat Agama Daerah Besut melalui program-program yang dijalankan.

Untaian penghargaan juga ditujukan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia kerana mewajibkan latihan ini kepada mahasiswa dan mahasiswi. Melalui Latihan Amali, kami dapat memperkenalkan Universiti Kebangsaan Malaysia kepada masyarakat sekeliling serta membantu masyarakat sepanjang tempoh yang ditetapkan. Ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih juga ditujukan khas buat Fakulti Pengajian Islam terutamanya kepada Dekan Fakulti, Profesor Dr. Mohd Nasran Mohamad kerana melalui Latihan Amali/Industri, kami dapat menambahkan pengetahuan, pengalaman dan pendedahan yang sesuai untuk kerjaya masa depan.

Di kesempatan ini, kami juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Prof. Madya Dr. Ahmad Redzuan Bin Mohd Yunus selaku Penyelaras Latihan Amali/Industri, Fakulti Pengajian Islam. Ribuan terima kasih juga kepada Prof. Madya Dr. Ahmad Redzuan Bin Mohd Yunus selaku penyelia kami dari Universiti Kebangsaan Malaysia di atas kesudian beliau untuk melawat dan menyelia kami di Pejabat Agama Daerah Besut.

Ucapan terima kasih juga ditujukan khas buat keluarga kami yang banyak memberi dorongan dan bantuan kewangan serta sokongan moral dalam menjayakan Latihan Amali/Industri ini. Seterusnya, untaian penghargaan kepada kakitangan pejabat yang banyak membantu kami menyempurnakan tugas sepanjang tempoh latihan. Antaranya ialah Ustaz Mohd Saufian, Ustaz Anuar, Ustaz Aziz, Pn. Wan Zawyah, Pn. Bunga, Pn. Nik Latifah, Pn. Nor Mapiah, Pn. Fazila, Cik Mieza dan lain-lain lagi.

Tidak lupa juga ucapan penghargaan dan tahniah kepada rakan-rakan praktikal dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNIZA) seramai 13 orang, Universiti Malaysia (UM) iaitu seorang dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) juga seorang sahaja. Sememangnya mereka telah banyak menghulurkan bantuan dan sokongan serta sama-sama menghadapi kesusahan dan kesenangan dalam menyiapkan dan mengendalikan tugas serta program yang diamanahkan.

Akhir kalam, kemaafan jua yang kami pinta andai terdapat sebarang kelemahan sepanjang tempoh menjalani Latihan Amali/Industri. Semoga segala pertolongan dan jasa baik tuan puan akan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t. Diharapkan luahan kalam ini sedikit sebanyak dapat membawa kita semua mengenali Pejabat Agama Daerah Besut, Terengganu dengan lebih dekat lagi. Sesungguhnya, yang baik itu datang daripada Allah s.w.t dan segala kelemahan itu adalah datang daripada diri kami sendiri. Sekian, terima kasih.